LANA NORDIN TIDAK PERNAH SIMPAN DENDAM|Seperti mana gempar apabila pelakon Johan As'ari, 27, mengumumkan mahu melamar pelakon Lana Nordin, 34, selepas tiga hari berkenalan, situasi sama berlaku apabila bintang utama drama bersiri Juvana itu mengambil keputusan memutuskan hubungan cinta mereka, minggu lalu.
Alasan Johan, dia membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Lana kerana menghormati ibunya. Ternyata apa yang diperkatakan sebelum ini mengenai ibunya tidak boleh merestui pilihan Johan adalah benar dan Johan mengesahkan perkara itu.
Dalam hangat orang memperkatakan isu itu, Johan pula dikatakan membuat kenyataan sebaliknya apabila menegaskan selama ini dia dan Lana hanya kawan rapat. Mereka juga sama-sama berlakon teater Bahayanya Wanita yang kini dipentaskan di Istana Budaya.
Mengapa tiba-tiba pelakon yang dikenali dengan imej warak ini mengubah kenyataan dalam tempoh sebulan? Ketika berkongsi kisah cintanya dengan Lana, Johan mengakui begitu yakin dengan kata hatinya kerana bayangan Lana dilihatnya ketika berdoa di depan kaabah. Bagaimanapun, tiba-tiba lain pula kenyataannya apabila mengatakan antara dirinya dengan Lana tidak lebih sebagai kawan rapat. Ramai melihat keputusan Johan bukan disebabkan ibunya tetapi atas kehendak dirinya sendiri. Tambah pula sebelum ini perkara sama pernah berlaku sewaktu dia menjalin hubungan dengan pelakon drama, Izreen Azmindar. Johan juga pernah dikaitkan dengan ramai selebriti popular antaranya Fasha Sandha, Nabila Huda, Nita Hamzah dan Shila Amza tetapi perkara itu dinafikan dan menegaskan antara mereka tidak lebih sebagai kawan rapat. Dia juga pernah memberi kenyataan mahu bertunang dengan gadis yang bertugas di stesen televisyen terkemuka, namun cerita itu lenyap apabila namanya mula dikaitkan dengan Shila.
Mengenai kenyataannya sebelum ini mahu melamar Lana untuk dijadikan isteri selepas tiga hari bertemu, Johan akui ada niat untuk menyunting Lana.
Katanya, ketika itu dia beranggapan ia tidak akan menimbulkan masalah memandangkan sebelum ini Lana mengatakan dia mengenali ibunya.
LANA kini tidak menoleh lagi mengenang kisah cinta dengan Johan yang terputus di tengah jalan.
“Apabila Lana mengatakan dia mengenali ibu saya, pada fikiran saya hubungan kami tidak akan berhadapan sebarang masalah. Tetapi apa yang berlaku sebaliknya apabila ibu masih belum dapat menerima Lana.
“Memang saya anak mak dan meletakkan ibu di tahap paling tinggi. Syurga saya di bawah telapak kaki ibu dan naluri ibu sangat kuat hingga saya akur dengan permintaannya. “Saya bimbang perkara ini akan menyebabkan hati Lana lebih disakiti. Restu ibu itu sangat penting bagi saya untuk melayari kehidupan rumahtangga. Contohnya apabila berkahwin, saya mahu isteri dijaga ibu mentua terutama apabila mengandung dan melahirkan.
Sementara itu Lana atau nama sebenar, Mazlina Hasan Nordin, 34, akui tenang menerima keputusan Johan. Pelakon kelahiran Kuching, Sarawak itu tidak berasa terganggu sewaktu beraksi di pentas teater Bahayanya Wanita. Tambah pula dia dan Johan berkongsi pentas.
Ditemui sebaik pementasan tamat baru-baru ini, Lana menegaskan sebelum ini keputusan untuk bercinta dan melamar datang dari Johan dan untuk memutuskan hubungan mereka juga datang darinya.
“Mengapa saya perlu bersedih dan meratap? Orang sendiri boleh menilai apa juga keputusan dibuat datang daripada pemikiran tidak matang. Saya dari awal lagi sudah menasihatkannya supaya jangan membuat tindakan terburu-buru sama ada membabitkan pengumuman mahu melamar mahupun memutuskan hubungan. Tetapi jalan itu yang dipilih, saya ikut saja. “Lagipun saya ini perempuan apatah lagi sudah dewasa. Keputusan di tangan dia. Sebagai orang matang, saya hanya boleh menasihati tetapi jika dia tidak mahu mendengar, saya tidak boleh berbuat apa-apa. Dia yang memulakan dan dia juga yang mengakhirinya. “Saya juga tidak berdendam dan menganggap ini semua satu pengalaman untuk mengenal hati budi dan sifat manusia. Kalau ada lagi lelaki seperti Johan yang cuba mahu datang dalam hidup, awal-awal saya sudah dapat mengesannya. Pada saya, apa yang berlaku satu pengalaman hidup cukup berharga,” katanya.
Kata Lana, apa yang membuatkan dia boleh menerima perkara ini dengan tenang kerana ramai peminat memberi kata-kata semangat, memujuk dan memintanya supaya sabar. “Saya berterima kasih kepada peminat yang tidak putus-putus memujuk dan memberikan kata-kata hikmah menerusi Twitter dan Instagram agar saya kuat berhadapan situasi ini. Syukur apabila perkara ini berlaku, baru saya sedar ramai orang yang sayangkan saya,” katanya.
Mengenai perubahan dilakukan demi Johan sebelum ini, kata
Lana sebenarnya apabila usia sudah mencecah 34, dia memang sudah mahu berubah dalam hidup.
Lana sebenarnya apabila usia sudah mencecah 34, dia memang sudah mahu berubah dalam hidup.
Katanya, apabila Johan datang dan beriya-iya mahu menjalin hubungan serius, dia bersyukur kerana memang itulah niat hatinya dari dulu mahukan seorang lelaki yang mempunyai pengetahuan agama dan boleh membimbingnya ke jalan Allah. “Apabila dia mengumumkan mahu melamar, saya memanjatkan syukur dan berasakan doa saya selama ini didengar Allah. Sekurang-kurangnya dia mampu membimbing saya dan anak-anak andai kami berkahwin.
“Tidak sangka pula apabila perkara ini berlaku, lain pula jadinya. Begitupun, saya memang mahu berubah. Ingin saya tegaskan di sini perubahan dibuat bukan kerana bercinta dengan Johan semata-mata tetapi ini memang sudah niat hati saya. “Bagaimanapun, biarlah perubahan yang berlaku itu dibuat perlahan-lahan. Saya sendiri kalau boleh tidak mahu lagi berpakaian seksi, biarlah ia sedap mata memandang,” katanya.
Lana juga merancang mahu menunaikan umrah apabila segala kerjanya selesai dan Johan juga begitu. Tujuan mereka ke sana pada awalnya mahu berdoa di hadapan Kaabah agar hubungan dijalin lebih diberkati tetapi sayangnya tiada jodoh antara mereka. Tegas Lana, dia melihat apa yang berlaku ada hikmah dan tidak mahu menoleh kembali ke belakang. Apa juga perancangan dibuat sebelum ini (mahu berubah) akan diteruskan demi kebaikan dirinya dan keluarga.
0 comments:
Post a Comment
Takkan bace je kot. Cerr bagi pendapat sikit :)