KISAH BENAR Pengakuan Seorang Gadis Jadi 'Ibu Ayam' Pada Usia Muda [MESTI BACA]

KISAH BENAR Pengakuan Seorang Gadis Jadi 'Ibu Ayam' Pada Usia Muda [MESTI BACA] |Pertemuan dengan Azlin, 18 (bukan nama sebenar), telah diaturkan oleh seorang guru yang saya kenali baru-baru ini. Guru itu sendiri mempertemukan kami di kantin sekolah.
Setelah tiba hari dan waktu, saya bersua muka juga dengan Azlin yang seperti diceritakan.
Melalui riak wajah Azlin, dapat ditelah dia agak keberatan untuk datang bertemu dengan saya apatah lagi membuka cerita tentang dirinya. Puas memujuk akhirnya Azlin bersetuju dengan syarat yang telah dipersetujui kami berdua.
Azlin seorang gadis yang cantik, bertubuh langsing dan berkulit cerah, anak matanya kebiruan dan sekali pandang ada iras gadis pan Asia.
Dia hidup bersama ibunya tanpa kasih sayang seorang bapa. Menurut Azlin, ibunya sering memberitahu bahawa bapanya seorang yang tidak bertanggung jawab dan mereka telah berpisah sejak Azlin bayi lagi.
Kisah Azlin bermula sejak usianya 13 tahun lagi. Kehidupannya memang bebas tanpa kawalan sesiapa memandangkan ibunya sering bekerja luar daerah dan hanya memberi duit keperluan Azlin sepanjang tempoh peninggalannya.
"Tahun lepas boleh dikira berapa hari sahaja saya ke sekolah. Mula-mula di sekolah kerajaan, tetapi disebabkan masalah disiplin dan selalu ponteng akhirnya emak daftarkan saya ke sekolah swasta. Saya tetap dengan perangai lama, malas ke sekolah.
"Saya memang bebas kak (panggilan kepada saya) hingga kalau saya bawa balik lelaki tidur di rumah pun emak saya tidak tahu," cerita Azlin membuka bicara.
Hari demi hari berlalu, Azlin semakin leka dengan kehidupan yang tanpa arah tuju hinggalah dia bertemu dengan seorang lelaki yang bernama Joe (bukan nama sebenar) di sebuah kelab snuker.
Pada lelaki itu, Azlin mengisi kekosongan hidup sehingga akhirnya mereka tinggal serumah.
"Saya memang tidak mahu sekolah lagi. Saya bahagia dengan Joe dan merasakan seolah telah menjadi ‘isteri’ pada Joe. Joe memang ambil berat tentang diri saya.
"Emak saya pula entah ke mana tidak habis-habis dengan tugasan luar daerahnya, jadi saya memang rasa selesa kerana tiada siapa pun yang mengongkong.
"Joe bekerja di sebuah syarikat swasta tetapi saya tidak ambil kisah apa jenis perniagaannya kerana yang penting saya bahagia dengannya.
"Joe juga memanjakan saya dengan pelbagai barangan dan hadiah, malah kediaman Joe di sebuah kondominium di ibu negara juga memang cantik dan selesa," cerita Azlin lagi.
Hampir enam bulan hidup bersama bagaikan suami isteri, Azlin mula terasa ada sesuatu yang tidak kena tentang Joe terutama pekerjaannya.
Satu petang yang hening, Azlin mengambil keputusan bertanya Joe tentang karier lelaki tersebut.
"Katanya dia bekerja import pembantu rumah asing. Memang saya pernah lihat beberapa wanita dari negara seberang menumpang kenderaannya, tetapi hati saya rasa tidak selesa pula apabila melihat wanita-wanita tersebut tidaklah seperti pembantu rumah malah lebih kepada pekerja di kelab-kelab malam.
"Apabila saya bertanya lagi, Joe mula naik berang. Masa itu saya mula rasa tidak sedap hati. Satu hari saya mengambil keputusan melarikan diri dari kediaman Joe dan tanpa arah tuju saya ke rumah salah seorang guru di sekolah yang pernah mengambil berat tentang saya.
"Pada guru tersebut saya ceritakan tentang apa yang telah berlaku pada saya. Guru tersebut bersimpati dan memberi perlindungan pada saya sementara memikirkan bagaimana nasib saya seterusnya," imbas Azlin.
Rupanya Azlin hanya risaukan dirinya dimanipulasi Joe untuk bekerja di kelab malam kerana dia amat tidak suka dengan kerja seperti itu. Dia membayangkan dirinya menjadi seorang isteri dan disayangi, bukan dijual pada kelab-kelab malam sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO).
"Malangnya saya tidak betah tinggal lama di rumah guru tersebut kerana anaknya yang ramai. Akhirnya saya kembali hidup dengan Joe.
"Selain hampir setiap malam berpeleseran di kelab malam, sesekali saya turut membantu kerja-kerja Joe. Kakak mesti terkejut dengan kerjaya saya ketika usia saya 16 tahun. Ya, saya terlibat dalam pemerdagangan manusia.
"Istilah tersebut baru saja digunakan sekarang sedangkan telah lama golongan tersebut beroperasi.
"Kerja saya ialah mengajak mana-mana gadis yang tidak berminat lagi bersekolah menjadi pelayan kelab atau apa saja pekerjaan yang boleh dikategorikan tidak sesuai untuk gadis di bawah umur.
"Ada juga yang berjaya menjadi pelakon tambahan dan bagi saya kerja ini amat menyeronokkan kerana dapat masuk ke dalam dunia penyiaran yang glamor," ujar Azlin.
Namun itu semua bersifat sementara sahaja. Azlin akhirnya ditangkap dalam satu operasi pihak berkuasa ketika sedang mabuk bersama rakan-rakannya di sebuah kelab malam. Dia ditahan kerana di bawah umur.
Azlin akhirnya ditempatkan di rumah pemulihan akhlak sehingga umurnya mencapai 18 tahun.
"Kehidupan di pusat pemulihan memang menginsafkan, saya baru nampak arah tujuan dan maksud sebenar kehidupan. Emak ada menemui saya dan nampaknya juga dia telah insaf. Alhamdulillah kami berbaik semula dan emak berjanji akan bersama saya selepas tamat tempoh tahanan," katanya.
Masa yang dinanti akhirnya tiba dan Azlin akhirnya dibebaskan. Kehidupannya kini lebih tenang, malah dia juga mengambil inisiatif menyambung pelajaran dengan bantuan guru yang pernah membantunya suatu ketika dulu.
"Saya memang amat terhutang budi dengan guru saya itu. Dia bukan sahaja mengajar saya malah memberitahu saya apa yang saya boleh lakukan dengan masa depan saya. Insya-Allah saya akan mengambil semula peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan meneruskan impian untuk menjadi manusia lebih berguna," kata Azlin mengakhiri bicara.


sumber
Share on Google Plus

About Unknown

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment

Takkan bace je kot. Cerr bagi pendapat sikit :)