Cerita Seram Gangguan Roh Sesat Di Sebuah Kolej++Menakutkan

Cerita Seram Gangguan Roh Sesat Di Sebuah Kolej++Menakutkan | Walaupun CFS IIUM kecil dan padat, tapi aku kira ada banyak bangunan akademik beserta dengan kolej kediaman. Cukup-cukup untuk menampung ahlinya yang sehingga 7000. Tahun ni saja ada lebih kurang 3000 pelajar baru mendaftar untuk sesi Jun 2012/2014. Masing-masing ada tiga kolej untuk lelaki dan perempuan secara berasingan. Tapi jujurnya bangunan Mahallah Abu Bakar (ABC) paling klasik sekali sebab sekali nampak macam bangunan terbiar. Sekali masuk baru tahu ada orang dalam tu.

Bangunan Mahallah Khadijah

Bangunan kolej kediaman paling mewah ialah Mahallah Khadijah. Lif ada, tak payah penat-penat nak panjat tangga sampai tingkat kesembilan. Maklumlah, bangunan ni dikatakan bekas hospital penyelidikan Universiti Malaya. Dalam keindahannya ada juga cerita seram dan menakutkan kerana di setiap hospital mesti ada bilik mayat.

Lupakan saja cerita Mahallah Khadijah mengenai cerita orang terjun bunuh diri, toyol mencuri, dan jururawat yang menegur pelajar bising. Itu semua cerita yang digunakan untuk menakutkan budak baru supaya hormat pada senior dan juga berkesan agar tiada pelajar yang berkelakuan melampau batas agama dan bangsa.

Aku pun belum pernah mengalami pengalaman seram walaupun aku pernah menetap di bilik 317 di bangunan Mahallah Abu Bakar. Ramai yang berbangkit mengenai bilik-bilik berhantu di ABC. Khususnya kawasan menegak (vertical line) di belakang bangunan ABC iaitu x-17. Bilik 117, 217, 317, dan 417 dikatakan berhantu dan dikunci sejak beberapa tahun lalu. Bilik-bilik ini selalu dikaitkan dengan cerita pelajar bunuh diri di bilik 317 kerana tekanan belajar.

Tahun lepas baru bilik ni dibuka untuk memenuhi bilangan pelajar yang padat. Ditakdirkan aku diletakkan dalam bilik 317. Tak, sebenarnya aku yang meletakkan diri aku sendiri dalam bilik tu. Kisahnya, mula-mula aku dapat kunci dalam bilik 407, tingkat 4. Selepas habis minggu tawe-tawe (program orientasi), ada sesetengah bilik yang di mana ahlinya terpaksa berpindah kerana bilik tersebut sudah ditempah oleh senior. Jadinya, semua ahli bilik aku terpaksa berpecah dan bertukar bilik.

Aku terpaksa ditukarkan ke bilik 427 di tingkat 4 juga. Tapi orang pejabat di Mahallah ABC memberi kelonggaran kepada pelajar yang terpaksa ditukar untuk memilih mana-mana bilik selagi tidak menyusahkan mereka. Aku pun ambil bilik 317 setelah dicadangkan oleh mereka. Biarpun tahu bilik tersebut dikaitkan dengan cerita seram, aku gagahi jua diri untuk berpindah ke sana.

 Tangga yang bersebelahan bilik 317 nampak gelap dan menyeramkan biarpun pada siang hari. Sebenarnya bilik 317 taklah teruk sangat seperti orang yang cakap dulu. Sepanjang aku tinggal dalam bilik tu, takde pula aku dengar suara-suara aneh, wajah-wajah mengerunkan atau mengalami kesakitan yang luar biasa. Malah aku tidur lena dalam bilik berbanding dengan bilik 407. Cumanya bilik ni ada asap-asap Malboro dan Dunhill yang tidak pernah terlepas dalam mana-mana kolej.
Bilik 317 ini sangat selesa, sejuk, dan malam hari, ditemani oleh sayup-sayup bunyi kedengaran kenderaan. Maklumlah, bilik ni amat dekat dengan tepi jalan raya. Setakat ni aku tak terganggu dengan bunyi bising kenderaan malah aku rasa macam kesunyian malam telah dipecah. Paling kurang takde rasa takut dapat bilik senyap sunyi bagai hutan rimba.

Bangunan Mahallah Zainab


Siapa yang tak pernah dengar cerita pocong melompat-lompat di belakang bangunan Mahallah Zainab? Siapa-siapa yang ada keistimewaan pancaindera pasti akan ada nampak satu perkampungan terasing di belakang CFS IIUM. Bukan aku yang nampak, tapi kawan aku yang cakap. Dia kata macam ada satu kampung di belakang CFS IIUM, dekat dengan bangunan SMAWEP. Sebenarnya jangan pelik dengan kejadian seram. Semua tempat khususnya kolej selalu dikatkan dengan perkara berhantu.

Sama ada cerita ini direka untuk menakutkan pelajar-pelajar agar tidak melanggar peraturan kolej atau menjaga para pelajar daripada tidak menganggu mereka. Kita kena sedar kehidupan kita juga dikongsi oleh oleh makhluk lain dan mereka ada di mana-mana. Bilangan mereka juga lebih banyak daripada kita. Mungkin pengalaman yang pernah dilalui oleh orang lain bertujuan untuk menyedarkan agar kita menghormati kehidupan mereka supaya segala masalah dapat dielakkan. Kita tidak nampak mereka jadi mungkin akan ada masalah terjadi tanpa disedari.

Mungkin ada sesetengah perbuatan kita menganggu mereka lantas menyebabkan mereka menganggu kita sebagai balasan. Ada juga yang tidak rela berkongsi tempat tinggal dengan manusia lain. Hal-hal sebegini akan mencetuskan kejadian berhantu. Yang penting, dekatkan diri pada Allah SWT kerana Dialah pemilik segala kekuasaan di atas muka bumi dan langit. Orang-orang yang jiwanya terlekat pada kebenaran kesucian iman akan dijauhi oleh mereka yang tidak penyembah pada tuhan yang satu.

Anggap saja cerita-cerita seram ni sebagai hiburan dan pengubat duka lara tak kala sedih menonton filem seram Melayu yang suam-suam kuku. Buat habis duit jer tengok wayang cerita hantu Melayu yang bajetnya rendah, pelakon pun dah nampak macam tunggul kayu. Enjoylah cerita seram di CFS IIUM kerana ini sebahagian langkah awal untuk mempercayai yang kita tidak keseorangan di dunia. Hormatlah alam, haiwan dan tumbuhan sebagaimana dicadangkan oleh Rasulullah SAW. Mungkin kita tidak mahu menganggu kediaman tempat “mereka”, haiwab belaan “mereka”, dan tumbuhan yang dijaga “mereka”.

Jangan takut kerana orang yang mudah takut selalu menjadi mangsa. Beranilah kerana Allah SWT nescaya tidak apa yang perlu ditakutkan. “Mereka” juga makhluk seperti kita, cumanya darjat manusia itu lebih tinggi kalau manusia itu benar-benar mengabdikan diri pada Allah SWT.


Share on Google Plus

About Unknown

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment

Takkan bace je kot. Cerr bagi pendapat sikit :)