gambar sekadar hiasan
Luahan Penghidap HIV Positive (KISAH BENAR) | Saya seorang yang kurang berjaya dalam hidup. Tidak pernah dikasihi mahupun mengasihi. Sejak usia semuda 2 tahun, saya tidak mendapat belaian kasih seorang ibu lantaran beliau kembali menemui yang Maha Pencipta.
Dalam usia 2 tahun, saya hidup menumpang kasih pada yang tak sudi. Mula-mula dengan seorang atuk saudara, ibu saudara dan akhir sekali ibu tiri. Kehadiran saya adik beradik seramai 6 orang tidak pernah diundang.
Bapa saya mengawini ibu tiri yang hanya menerima bapa sebagai suami manakala anak-anak menjadi beban kehidupannya. Bapa saya bagaikan tidak wujud dan bermulalah kisah tragis kehidupan yang saya lalui. RUMAHKU NERAKAKU.
Sumpah seranah dan wajah benci setiap hari menyambut kami. Kehidupan saya tidak ubah umpama cerita bawang putih bawang merah. Dalam usia semuda 6 tahun saya telah belajar mengurus diri serta dilayan sebagai anak kelas ke 3 berbanding adik beradik yang lain (seibu sebapa atau sebapa). Disebabkan dugaan yang amat dahsyat, saya pernah terfikir untuk bunuh diri dalam usia 9 tahun.
Dipendekkan cerita, kini saya berjaya dalam pelajaran, bekerja serta menjawat jawatan yang stabil. Namun kehidupan lampau membuatkan saya membenci wanita.
Saya tidak punya keyakinan dan rendah diri. Saya terjerumus dalam noda. Untuk menutup kelemahan, saya terjerumus dalam kancah menyekutukan Allah, amalan homosekual, ganja dan arak.
Saya membalas dendam kerana benci diperlakukan secara tidak adil oleh dunia. Saya keseorangan. Saya dahagakan kasih sayang. Terkapai-kapai dalam kesusahan tanpa sebarang simpati.
Lantaran hidup yang penuh noda dan dosa, jiwa saya memberontak. Saya kemurungan dan pernah beberapa kali memikirkan untuk menamatkan riwayat sebagai jalan penyelesaian. Hanya kerana sekelumit iman, saya tangguhkan hasrat tersebut.
Di kala berbuat maksiat, hati saya tidak lupa berdoa supaya Tuhan berikan saya penyakit supaya saya kembali tunduk kepadanya. Saya rela mengidap kanser asalkan saya dapat sekelumit hidayah.
Sesungguhnya Tuhan itu Maha Pemurah. Doa hamba-Nya dimakbulkan. Maka saya disahkann hiv+ di samping bebanan penyakit-penyakit lain. Di kala orang lain gundah gulana sedih dan pilu, saya menyambutnya dengan penuh kesyukuran.
Di pagi yang hening, pertama kalinya saya sujud menyembah yang Maha Esa. Mengitung dosa-dosa setinggi gunung dan seluas lautan. Memohon rahmat dan rahimnya. Jiwa saya tenang meskipun saya menghitung hari untuk pergi mengadap-Nya bila sampai ketikanya.
Saya redha dengan perjalanan hidup saya sendirian. Ada masanya terlantar di hospital keseorangan tiada siapa peduli. Saya titipkan doa supaya di kala saya pergi, tiada siapa mengiringi seperti mananya perjalanan hidup saya yang sentiasa sendiri.
Semoga Kau ya Allah menerima permohonan keampunan dariku atas sifat Rahman Dan Rahim-Mu.
0 comments:
Post a Comment
Takkan bace je kot. Cerr bagi pendapat sikit :)