Sebuah taman buaya yang terletak di bandar Darwin, Australia telah menawarkan satu perkhidmatan istimewa buat pengunjungnya. Taman haiwan yang dikenali sebagai Crocosaurus Cove itu memberi peluang kepada pengunjung untuk menyelam bersama buaya air masin, serta merasai pengalaman diserang oleh sang bedal!
Perkhidmatan tersebut adalah 'Cage of Death' atau dikenali sebagai kurungan maut. Ianya mula diperkenalkan pada Mei tahun lalu (2012) dan merupakan satu tarikan baru di taman itu semenjak dibuka pada tahun 2008.
Cage of death merupakan satu aktiviti baru yang diperkenalkan bagi menarik orang ramai berkunjung ke taman buaya berkenaan. Bukan itu sahaja, ia turut memberi peluang kepada pengunjung yang datang merasai sendiri bertemu dengan reptilia ini dalam jarak yang paling dekat.
Perkhidmatan ini terbuka kepada sesiapa sahaja. Apa yang paling penting, individu tersebut mestilah yang benar-benar berani untuk menyelam bersama dengan reptilia ini. Dalam aktiviti ini, sejenis peralatan khas digunakan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini menimpa para pengunjung.
Bagi memastikan tahap keselamatan pengunjung terjamin, para pengunjung dikehendaki masuk ke dalam sebuah ruang khas iaitu sebuah sangkar berbentuk silinder lut sinar. Secara asasnya, sangkar lut sinar ini dibina sepenuhnya dengan menggunakan kaca akrilik. Ia merupakan sejenis kaca yang berkualiti tinggi serta mampu menahan sebarang hentakan kuat dan tahan calar. Pada masa yang sama, sangkar setinggi tiga meter itu turut diisi dengan 75 peratus air untuk menimbulkan situasi menyelam kepada pengunjung.
Bagi setiap sesi selaman, sangkar lut sinar ini hanya mampu memuatkan dua orang sahaja dalam satu-satu masa. Setiap satu sesi selman, para pengunjung hanya dibenarkan berada dalam sangkar tersebut dalam tempoh 15 minit.
Pengunjung memberi maklumbalas bahawa mereka sangat teruja sewaktu diberi peluang mendekati spesies ini. Salah seorang pengunjung yang merupakan seorang pelagak ngeri profesional mengakui berpuas hati dengan perkhidmatan tersebut.
Semenjak perkhidmatan ini diperkenalkan, belum pernah dilaporkan insiden buruk berlaku. Meskipun begitu, pihak pengurusan taman tersebut tetap bersedia dan memastikan para pengunjung sentiasa selamat.
Di taman buaya Crocosaurus Cove, terdapat hampir 200 ekor buaya. Kesemua reptilia ini terdiri daripada spesies buaya air masin. Buaya spesies ini merupakan spesies yang paling besar berbanding subfamili yang lain. Malah, ia juga antara haiwan pemangsa yang paling ganas.
Spesies buaya air masin jantan mampu membesar sehingga enam meter. Manakala ukuran beratnya pula boleh sehingga 2 204 paun (1 tan = 1 000 kg ). Spesies reptilia ini boleh dijumpai di dua buah kawasan iaitu Asia Tenggara dan Utara negara Australia.
Walaubagaimanapun, di wilayah Utara Australia bilangan jumlah spesies ini jauh lebih besar berbanding di Asia Tenggara. Jadi, tidak hairanlah spesies buaya air masin ini dianggap sebagai satu simbol penting dalam kalangan penduduk di wilayah ini.
Info Ringkas Mengenai Taman Buaya Crocosaurus Cove
1. Merupakan sebuah taman buaya terletak di bandar Darwin, Australia.
2. Di buka sepanjang tahun antara jam 8 pagi hingga 8 malam.
3. Caj bayaran masuk yang dikenakan adalah sebanyak $28 (RM 90) untuk golongan remaja, kanak0kanak $14 (RM 45), dan dewasa sebanyak $22 (RM 71)
4. Caj bayaran bagi perkhidmatan Cage of Death atau kurungan maut pula dikenakan sebanyak
$120 (RM 385) untuk seorang individu, manakala $160 (RM 514) untuk dua orang.
0 comments:
Post a Comment
Takkan bace je kot. Cerr bagi pendapat sikit :)