[JOM BACA] Makanan Lima Bintang Yang Di Hidangkan Oleh Banduan | “ANDA boleh menghasilkan lima hidangan dengan lima rasa berbeza daripada seekor ikan. Sebelum ini saya fikirkan semua ikan mempunyai rasa yang sama tetapi sebenarnya tidak. Banyak yang telah saya pelajari di sini,” ujar Pete.
Dia merupakan salah seorang tahanan penjara yang menyertai Festival Hidangan Makanan Wellington. Pada acara tersebut, mereka berpeluang menyediakan makanan lima bintang kepada orang ramai.
BOSLEY memberi tunjuk ajar kepada banduan dalam menyediakan masakan bertaraf lima bintang. |
Secara keseluruhan lebih 30 orang banduan di Penjara Rimutaka, Wellington, New Zealand telah mendapat pengiktirafan sijil katering melalui pembelajaran di dapur penjara. Mereka mendalami kemahiran yang dapat membantu mereka mendapatkan pekerjaan di restoran-restoran di negara itu selepas dibebaskan kelak.
Buat kali pertama pada tahun ini, pihak berkuasa telah memutuskan untuk mempamerkan kehebatan kulinari para banduan itu.
Mereka telah dilatih oleh pemilik restoran terbaik New Zealand 2007, Martin Bosley. Chef yang berpengalaman itu telah memberi tunjuk ajar mengenai segala aspek penyediaan makanan selama sembilan bulan kepada para banduan terlibat.
Kemuncaknya, mereka akan menghidangkan juadah istimewa selama dua malam untuk 140 orang pengunjung dengan berlatarkan suasana sebenar penjara.
Mengajar banduan
“Ia merupakan pengalaman yang mengujakan selama 30 tahun terlibat dalam industri masakan,” luah Bosley.
Pada awalnya, dia berasa sedikit skeptikal dan tidak berminat dengan idea tersebut. Ini kerana beliau tidak dapat membayangkan bagaimana suasana untuk mengajar para banduan di penjara.
“Selepas beberapa ketika, saya mula terfikir bagaimana mereka akan meneruskan kehidupan selepas dibebaskan nanti,” ujarnya yang akhirnya telah bersetuju dengan idea tersebut.
Faktor keselamatan tidak menjadi kebimbangan kepada Bosley kerana banduan-banduan yang dipilih mengikuti program ini tidak mempunyai kes-kes serius. Penjara Rimutaka merupakan penempatan yang dilengkapi tahap keselamatan sederhana memandangkan banduan di sana terdiri daripada pesalah kes biasa atau mempunyai rekod yang baik.
KREDIBILITI banduan diuji ketika menyediakan hidangan kepada para tetamu. |
“Selepas mengajar mereka, tanggapan negatif saya beransur hilang. Saya mula berasa selesa untuk bekerja bersama golongan banduan ini,” ujar Bosley yang enggan menerima sebarang bayaran dalam menjayakan program itu.
Beliau mempunyai pekerja sambilan yang terdiri daripada bekas banduan Penjara Rimutaka dan menyatakan, peningkatan ketara dapat dilihat dalam diri banduan tersebut.
Jelasnya, mereka tangkas menggunakan pisau-pisau tajam untuk membuang lemak-lemak daging, malah cepat mempraktikkan semua pembelajaran yang diberi.
Menurut seorang banduan, Marco, sebelum dimasukkan ke dalam penjara pada tahun 2004, dia tidak tahu cara-cara membuat sandwic. Namun, selepas mengikuti program berkenaan, dia bercita-cita untuk menjadi pembuat kek apabila dibebaskan kelak.
“Saya mahu menjadi pembuat kek perkahwinan,” ujarnya tersenyum.
Seorang lagi banduan, Wolf, ditugaskan di bahagian sayur-sayuran telah mencipta resipi roulade Wellington tanpa daging disertakan kacang puy Perancis dan mousse keju kambing.
“Setiap kali gagal, saya mempelajari sesuatu. Jika terdapat perkara yang tidak boleh dilakukan, saya gemar mencari penyelesaian dengan melakukan kajian sendiri. Ia sangat mengujakan,” ujarnya.
Wolf mengakui, berinteraksi bersama orang luar merupakan satu cabaran getir sepanjang program itu. Pada awalnya, dia seperti kebanyakan banduan lain berasa segan dan selalu menyendiri.
Dia menganggap bekerja di dapur merubah hidupnya dan kini dia mempunyai arah tujuan selepas dibebaskan.
“Saya telah berada di sini. Boleh dikatakan saya merupakan banduan yang ganas dan sukar dikawal. Sejak mengikuti program ini, fokus saya telah bertukar. Ia merupakan sesuatu yang ingin saya lakukan kelak,” tambahnya.
Wolf dan rakan-rakannya cukup berdebar menanti reaksi pengunjung ketika ditemuramah AFP pada 9 dan 10 Ogos lalu. Namun, mereka perlu berbangga kerana hidangan dua malam itu mendapat respons positif termasuk dari pengkritik makanan akhbar Dominion Post, David Burton.
0 comments:
Post a Comment
Takkan bace je kot. Cerr bagi pendapat sikit :)