Pelajar Universiti Didakwa Kerana Ugut Untuk Sebar Gambar Bogel

Pelajar Universiti Didakwa Kerana Ugut Untuk Sebar Gambar Bogel

MOHD. Hidayat Abd. Ghani (kiri) didakwa di Mahkamah Majistret, Melaka, semalam.


[UM] MELAKA 24 Sept. - Seorang pelajar sebuah universiti swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan termasuk mengugut seorang wanita serta memiliki gambar lucah pada bulan lalu.

Mohd. Hidayat Abd. Ghani @ Mukhtar, 23, dari Batu Buruk, Terengganu mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Syajaratudur Abd. Rahman.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan ketakutan terhadap wanita berumur 22 tahun itu dengan mengugut untuk menyebarkan gambar bogel mangsa dengan tujuan mangsa menyerahkan seutas gelang tangan dan rantai leher emas miliknya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pangsapuri Bukit Beruang Permai di sini kira-kira pukul 2.27 pagi antara Ogos dan 2 September lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Bagi pertuduhan kedua pula, Mohd. Hidayat didakwa melakukan pemerasan dan cuba mendatangkan ketakutan kepada mangsa yang sama untuk menyebarkan gambar bogelnya supaya menyerahkan wang tunai RM5,000.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tingkat 15 sebuah pangsapuri di Bukit Beruang di sini pada pukul 10.41 pagi, 17 September lalu.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Sementara bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memiliki gambar lucah dalam telefon bimbit jenis Samsung S3 Mini miliknya di Pangsapuri Bukit Beruang Permai di sini pada pukul 1 petang, 19 September lalu.

Mohd. Hidayat yang merupakan pelajar kursus kejuruteraan elektronik didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Syajaratudur membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan sebutan kes pada 22 Oktober ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Safri Mohammed Na'aim manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela. - 25/9/13





Sumber


Share on Google Plus

About Unknown

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment

Takkan bace je kot. Cerr bagi pendapat sikit :)