Kisah Paling Seram - Amaran Keras !! Jangan Baca Jika Anda Takut Ke Tandas !!!

Kisah Paling Seram - Amaran Keras !! Jangan Baca Jika Anda Takut Ke Tandas !!!

Assalamualaikum


Di ruang maya yang luas ini aku ingin berkongsi sedikit tentang suatu pengalaman paranormal yang hanya aku ceritakan secara lisan kepada beberapa orang rakan.

Sebelum memulakan kisah yang pernah dilalui oleh diriku ini, dinasihatkan kepada sesiapa yang agak-agak ada rasa takut nak ke tandas supaya banyak bertafakur. Jangan pandang belakang dan JANGAN TEGUR. Ini adalah sebuah kisah benar yang pernah menimpa diriku sewaktu melalui kehidupan di sebuah sekolah berasrama.

Tajuk : Identiti sebenar?
Lokasi : Asrama Putera, SMKPH, Pekan, Pahang.
Tahun kejadian : 1999 - Penulis di tingkatan 3


Sekadar hiasan

Kedudukan Asrama Putera yang mebelakangi Sungai Pahang dan dikelilingi belukar sekitar pagar. Persekitaran begini sudah cukup menyeramkan kepada sesiapa sahaja yang pernah menghuni di sini. Terdapat banyak kisah-kisah seram yang sering diceritakan oleh pelajar-pelajar senior malahan ada juga yang diceritakan sendiri oleh para warden melalui pengalaman mereka sendiri.

Antara kisah yang popular diceritakan adalah acara kawat sesi tengah malam oleh prebet-prebet Jepun tanpa kepala. Mungkin kisah ini adalah benar atau sekadar ingin menakut-nakutkan pelajar junior. Kebenaran kisah ini tidak dapat aku pastikan kerana aku tidak pernah melaluinya. Wallahualam. Kejadian histeria sudah lali didengar berlaku di Asrama Puteri. Aku hingga kini tertanya-tanya akan realistik disebalik setiap kejadian histeria yang berlaku. Si mangsa seolah-olah berubah sama sekali menjadi insan yang lain dari perwatakan asal mereka. Aku menganggap perkara ini hanyalah masalah psikologi yang mempengaruhi mentaliti si mangsa "histeria".

Kehidupan di asrama sememangnya mencabar dan banyak mengajarku erti kehidupan berdikari dan kental. Namun jiwa remajaku yang kering serta penuh dengan sifat kenakalan kadangkala melampaui tahap keberanian yang ada dalam diri. Pernah suatu ketika aku mengetuai angkatan rakan-rakan nakal menceroboh masuk ke persekitaran Asrama Puteri tatkala bulan mengambang penuh. Jika difikir semula, sungguh berani diriku ini merentasi laluan yang diceritakan banyak berlaku kejadian paranormal. Tidak berfaedah sama sekali.

Pada suatu malam, segenap penghuni asrama akan ke dewan makan untuk menikmati santapan tengah malam selepas selesai memerah otak menyiapkan tugasan dan mengulangkaji pelajaran. Sesudah makan, semua akan  pulang ke asrama dan melakukan aktiviti masing-masing. Jam menunjukkan pukul 11:00 malam. Kelibat penghuni asrama masih ligat dengan kerenah masing-masing. Aku sebenarnya menunggu detik lengang (line clear) untuk melakukan satu aktiviti tidak bermoral bagi seorang pelajar.

Waktu terus berlalu pantas. Jam menunjukkan pukul 12:45 malam. Rata-rata bilik sudah gelap dan masing-masing sudah bersedia untuk lena diulit mimpi di atas katil masing-masing. Aku rasa ini adalah masa yang sesuai untuk aku merencanakan aktivitiku. Aku sendirian dengan tenang melangkah ke tandas. Aku memandang setiap pintu tandas lima sederet. Aku melakukan "spot check" untuk memastikan tiada sesiapa yang bisa 'mengantoikan' aktivitiku. Seperti biasa, aku memilih bilik yang hujung sekali. Rokok kunyalakan dengan sedutan pertama agak panjang. Aku menghembus kepulan asap putih dengan kepuasan. Tiba-tiba... Aku terdengar desiran air mencurah yang aku pasti bunyi itu datang dari bilik sebelah. Aku bingkas bangun untuk melihat siapakah gerangan yang berada di bilik sebelah. Tiada sebarang tanda titisan air. Lantai kelihatan kering seperti sediakala. Aku terus memeriksa setiap bilik dan keadaan tetap sama. Tiada sesiapa yang masuk, aku berasa lega semula.

Aku keluar dari tandas dengan rokok masih menyala di tangan menuju ke sebuah bilik khusus untuk mencuci pakaian. Aku melihat wajah yang amat kukenali sedang sibuk memberus seluar. Terlintas di fikiran mungkin bunyi desiran air tadi datangnya dari sini.

"Woit Za, lewat ko basuh baju?" Sapaku.

Za Rosmaini, (bukan nama sebenar) merupakan seorang pelajar senior yang juga ketua bilikku yang "sporting".

"Aku tak boleh nak basuh siang-siang. Kulit sensitif." Jawabnya dengan nada bergurau tanpa memandang ke arahku.

Aku melakukan sedutan panjang untuk kali terakhir. Terasa panas di bibir dan aku segera mencelupkan puntung rokok yang masih berbara ke dalam takungan air di lantai. Puntung rokok tersebut segera kucampakkan ke arah luar pagar asrama.

"Za, aku masuk bilik dululah ya. Ko jangan lama-lama, karang kokak dek hantu, hahaha." Aku bergurau dengan nada menakut-nakutkan.

Aku berjalan pantas menuju ke bilik sambil menjeling ke arah bilik warden. Sudah gelap. Maknanya aktiviti nakalku selesai dengan jayanya. Puas! Sebaik sampai di bilik, aku terus melompat ke atas katilku yang bersebelahan dengan katil ketua bilik.

"Ko pergi mana tadi? Perkh! Kuat bau rokok, weh cover-cover la sikit"

Aku kenal benar dengan suara itu. Aku menoleh ke arah suara itu dan dalam kesamaran aku dapat mengecam wajahnya. Iya, Za Rosmaini yang baru sebentar tadi aku berbicara dengannnya di bilik membasuh pakaian. Bulu tengkuk dan roma meremang seluruh tubuh secara tiba-tiba. Terpacak! Aku rasa seperti tiada lagi darah yang mengalir dalam urat-temuratku. Lutut terasa menggigil bukan kerana kedinginan tetapi kerana perasaan tidak enak mengenang kejadian  yang baru aku alami. Aku segera merapatkan kelopak mata tanpa membalas teguran Za. Dalam hati terus-menerus dengan bacaan ayat Al-Qursi sehingga lena. Siapakah gerangannya identiti sebenar "makhluk" yang bergurau senda denganku di bilik mencuci???

Keesokannya selepas tamat waktu persekolahan, aku mengajak seorang rakan pergi ke bilik mencuci pakaian. Aku menyuruhnya membuka paip air sederas mungkin manakala aku berlari-lari anak menuju ke bilik tandas tempat aku memulakan aktiviti tidak bermoralku malam tadi. Sunyi, tiada sebarang bunyi. Aku kembali ke bilik mencuci dan aku lihat air berterusan mengalir dari kepala paip. Aku menutup paip dan menarik tangan rakanku keluar. Rakanku tepinga-pinga melihat tingkahlaku yang aku pamerkan. Aku??? Lagi kebingungan.

Sejak peristiwa itu, aku tidak berani lagi untuk melakukan aktiviti menghisap rokok di tandas seorang diri. Setiap kali ke tandas, aku akan mengajak seorang teman yang boleh dipercayai untuk menemaniku dengan alasan untuk "cover line" sedangkan mereka tidak tahu akan kisah yang sebenar.

Sekian sebuah coretan paranormal yang pernah kualami ketika melalui alam remaja yang berani dan nakal di sebuah asrama yang penuh dengan pengalaman dan suka-duka kehidupan.

"Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan" Insya-Allah.

Sumber Daripada Penulis sebenar
Share on Google Plus

About kayriel eizham

    Blogger Comment
    Facebook Comment

1 comments:

  1. yeker....len kali buat la video..!!! baru menampakkan orang percaya..!!!!

    ReplyDelete

Takkan bace je kot. Cerr bagi pendapat sikit :)